اسلام عليكم ورحمة الله وبركاته SELAMAT DATANG KE BLOG من جد وجد!!!! JANGAN LUPE FOLLOW YER,,◕‿◕.
RSS

Wednesday, July 25, 2012

AKHLAK MULIA RASULLAH S.A.W.



         Akhlak merupakan tingkah laku ataupun keperibadian yang mencerminkan  sifat ataupun sikap seseorang. Sekiranya baik akhlak yang ditunjukkan , maka baiklah seseorang itu.Sekiranya buruk akhlak yang ditunjukkan ,maka buruklah seseorang itu. Begitulah juga dengan kehidupan manusia di dunia ini sejak dahulu sehinggalah sekarang ada yang baik dan buruk, benar dan salah, kebajikan dan kemungkaran. Pertarungan antara hak dan batil tidak akan pernah berhenti selama dunia ini masih ada.
       Oleh yang demikian , sekiranya kita menginginkan kehidupan yang penuh harmoni , jauh dari kemungkaran dan kemaksiatan maka caranya ialah dengan kita kembali mempraktikkan nasihat-nasihat Rasullullah saw di dalam kehidupan kita seharian baik kehidupan peribadi , keluarga ataupun masyarakat . Apa yang perlu kita tekankan di sini ialah soal akhlak kerana soal inilah yang paling penting dalam ajaran Islam.
Nabi (saw) bersabda :
Sesempurna –sempurna imannya orang mukmin ialah yang lebih baik akhlaknya.”
                                                                                                                     (Riwayat Tirmizi)
Maksud hadis di atas ialah akhlak merupakan soal penting bagi kehidupan seseorang Islam, kerana akhlak merupakan bukti tanda kesempurnaan Islam serta iman seseorang. Belum dianggap orang itu memiliki iman yang sempurna kalau akhlaknya tidak baik. Jadi sempurnanya iman seseorang tergantung pula kepada sempurnanya akhlak.
Rasullullah SAW diutus oleh Allah SWT untuk memberi bimbingan serta petunjuk menuju kea rah sempurnanya akhlak yang mulia yang sudah tentu akan membawa pula kearah kemuliaan bagi hidup manusia di dunia ini.
Sabda Rasullullah SAW:
“ Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan budi pekerti mulia.”
                                                                                                         (Riwayat Ahmad)
         Rasullullah dalam memberi bimbingan akhlak bukan sekadar teori melainkan dipraktikkan olehnya terlebih dahulu dan ini diketahui oleh orang-orang yang hidup saat itu sebagaimana pengakuan sahabat Anas berkata :
“ Adalah Rasullullah SAW itu sebaik-baik manusia akhlaknya.
                                                                                                         ( Riwayat Bukhari dan Muslim)
Lantas bagaimanakah akhlak Rasullullah itu?
Beberapa orang pernah datang kepada isteri nabi SAW.Maka dijawab oleh Aisyah :
“ Akhlak nabi itu ialah Al-Quran”
Maksudnya seluruh isi Al-Quran itu sudah diamalkan oleh Rasullullah SAW. Jadi Rasullullah merupakan gambar hidup Al-Quran.
Diantara budi pekerti Rasullullah SAW menurut hadis dan as-sunnah yang boleh kita jadikan contoh adalah seperti berikut :
1.      Memberi salam kepada sesama manusia
2.      Pergaulan yang baik dalam hidup masyarakat
3.      Menghormati  orang lain
4.      Berbudi bahasa dan bersopan santun
5.      Berbuat kebaikan dan kebajikan kepada sesama manusia
6.      Selalu memberi sedekah makanan dan minuman
7.      Menziarahi orang sakit
8.      Menziarahi dan mengiringi jenazah ke perkuburan
9.      Mengasihani kanak-kanak
10.  Menerima jemputan dari sesiapa jua dan mendoakannya.
11.  Menahan marah dan memaafkan seseorang yang bersalah.
12.  Meninggalkan segala larangan agama
13.  Meninggalkan perbuatan caci mencaci, menghina ,mengadu-domba dan melagakan orang lain.
14.  Tidak bercakap atau bersumpah bohong
15.  Tidak bakhil,lokek atau kikir.
16.  Tidak boros membelanjakan harta yang tidak kena tempatnya.
17.  Tidak menghampakan harapan orang yang meminta pertolongan atau bantuan
18.  Tidak menipu orang
19.  Tidak memutuskan persaudaraan, persahabatan  atau silaturrahim samada ahli keluarga , sahabat ,jiran tetangga atau umat Islam.
20.  Tidak berkelakuan atau berperangai jahat dan maksiat
21.  Tidak sombong atau meninggi diri
22.  Tidak banyak bercakap terutama kata-kata yang sia-sia ,kotor, lucah dan seumpamanya.
23.  Tidak melakukan tabiat yang keji,maksiat dan kemungkaran
24.  Tidak melakukan tabiat menyumpah seranah terhadap orang lain
25.  Tidak melakukan perbuatan hasad dengki
26.  Tidak berlaku curang atau mengkhianati orang lain.
27.  Tidak menzalimi atau menganiayai orang lain.

         Sekiranya kita ingin berakhlak seperti Rasullullah SAW ,kita hendaklah membaca Al-Quran ayat demi ayat dan kita cuba praktikkan dalam kehidupan kita.Mungkin kita akan menemui perintah yang menurut anggapan kita agak berat maka cepat-cepatlah kita minta tolong kepada Allah agar diberi kekuatan untuk melaksanakan perintah tersebut.Jika setiap orang yang mengaku Islam mahu melaksanakan apa yang disebut tadi, insyaallah kejayaan Islam akan menjadi kenyataan.
           Mari kita galakkan membaca Al-Quran di rumah kita masing-masing dan usahakan untuk memahami kandungannya. Kita dapat membeli tafsir Al-Quran yang terjemahkan dalam Bahasa Melayu.Insyaallah ajaran Al-Quran akan meresap ke dalam hati sanubari  kita. Umar b.Al-Khattab yang begitu keras kepala akhirnya menjadi lunak  kerana tersiram dengan ayat suci Al-Quran yang asalnya musuh yang keras terhadap Islam ,berbalik menjadi  pembela Islam yang gagah dan berani.
(Diterbit oleh ILDAS)


    0 comments: